Selamat Datang

Sunday, May 17, 2015

“ HARTA SEPENCARIAN DARI SEGI PENTADBIRAN HARTA PUSAKA ”



ISI KANDUNGAN :

1)MAKSUD HARTA SEPENCARIAN
2)MAKSUD HARTA PUSAKA
3) DALIL SYARA' MENGENAI HARTA SEPENCARIAN
4) BENTUK HARTA SEPENCARIAN
5) BILA DAN SIAPA YANG BERHAK MENUNTUT HARTA SEPENCARIAN
6) AKTA UNDANG-UNDANG BERKAITAN DENGAN HARTA SEPENCARIAN
7) KUASA MAKHAMAH DALAM PEMBAHAGIAN HARTA SEPENCARIAN
8) HIKMAH HARTA SEPENCARIAN
9) KESIMPULAN


______________________________________________________________________________


MAKSUD HARTA SEPENCARIAN
Harta sepencarian ialah harta yang dikumpulkan bersama oleh pasangan suami isteri  sama ada secara langsung ataupun tidak langsung dalam tempoh perkahwinan berkuat kuasa mengikut kadar dan syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak.

MAKSUD HARTA PUSAKA
Harta pusaka ialah segala harta peninggalan Simati yang meliputi harta alih dan harta tak alih setelah ditolak segala hutang dan kewajipan yang perlu diberikan kepada pihak-pihak yang berhak menurut undang-undang.

§        Apa yang dapat kita fahami mengikut maksud di atas ialah harta sepencarian adalah harta yang boleh dituntut oleh waris  sebelum pembahagian harta pusaka dilaksanakan dan ianya terkeluar daripada menjadi harta pusaka si mati.

DALIL SYARAK
Allah subhanahu wa taala berfirman :

ولا تتمنوا ما فضل الله به بعضكم على بعض للرجال نصيب مما اكتسبوا وللنساء نصيب مما اكتسبن وسئلوا الله من فضله إن الله كان بكل شيء عليما

Maksudnya :
"Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikaruniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak dari sebahagian yang lain. (Karena) bagi orang laki-laki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan, dan bagi para wanita (pun) ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan mohonlah kepada Allah sebagian dari karunia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu." Surah an-nisa' ayat 32 .

BENTUK HARTA SEPENCARIAN
Perkara yang diambil kira dalam menentukan harta sepencarian yang diperoleh dalam masa perkahwinan dinilai dari dua perkara iaitu :-

(a)  SUMBANGAN SECARA LANGSUNG ( SECARA FIZIKAL)

- Sumbangan secara langsung bermaksud pihak-pihak kepada perkahwinan itu telah sama-sama memberikan sumbangan mereka dalam memperoleh aset dan harta berkenaan.Pasangan ini sama-sama mengeluarkan modal dan wang bagi membeli aset danharta berkenaan.

- Sebagai contohnya, pasangan suami isteri mempunyai kerjaya masing-masing, telah sama-sama membeli aset dan harta berkenaan secara ansuran yang pihak suami telah membuat bayaran pendahuluan dan pihak isteri pula membuat bayaran ansuran bulanan. Mereka berkongsi bersama-sama dan memberi sumbangan wang, modal dan sebagainya secara langsung daripada pendapatan mereka bersama.

(b) SUMBANGAN SECARA TIDAK LANGSUNG ( SECARA MORAL)

- Sumbangan tidak langsung bermaksud suatu sumbangan yang bukan berbentuk wang atau benda tetapi mendatangkan dan menghasilkan harta atau aset tertentu. Sumbangan ini, sama ada melalui idea, dorongan, nasihat, memberi semangat, menjaga keselesaan, menimbulkan ketenteraman dan sebagainya kepada pasangan satu lagi yang berusaha secara langsung dan berjaya mendapatkan harta dan aset itu.

- Sebagai contohnya, pihak suami bekerja dan berpendapatan tetap bulanan telah dapat membeli beberapa aset dan harta secara bayaran ansuran manakala pihak isteri tidak bekerja tetap tetapi memberikan sumbangan dengan menjaga keluarga, membina rumah tangga, memelihara anak-anak dan menunaikan tanggungjawab perkahwinan mereka sehinggakan pasangan ini telah berjaya memiliki aset dan harta tersebut dalam tempoh perkahwinan mereka. Walaupun pihak isteri tidak memberikan sumbangan modal dan wang dalam memiliki aset dan harta, pihak isteri ini dianggap telah memberikan sumbangan secara tidak langsung terhadap pemilikan aset dan harta tersebut.

BILA DAN SIAPA YANG BERHAK MENUNTUT HARTA SEPENCARIAN

Tuntutan harta sepencarian boleh dibuat kepada Mahkamah Tinggi Syariah oleh suami atau isteri atau ahli waris –

(a) semasa tuntutan poligami;
(b) selepas perceraian; atau
(c) selepas kematian pihak suami atau isteri .


AKTA UNDANG-UNDANG BERKAITAN DENGAN HARTA SEPENCARIAN

Akta yang diguna pakai dalam menentukan harta sepencarian seseorang ialah :-

1)  AKTA UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 1984

2)  ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGAA ISLAM (NEGERI SELANGOR) 2003 DAN KAEDAH-KAEDAH


KUASA MAKHAMAH DALAM PEMBAHAGIAN HARTA SEPENCARIAN

Makhamah adalah mempunyai kuasa , apabila talak dilafazkan atau apabila suatu perintah penceraian dibuat ,apa-apa harta yang diperoleh oleh suami isteri dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama dibahagiakan antara mereka atau dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara mereka.

Kadar pembahagian harta sepencarian adalah berdasarkan takat sumbangan yang diberikan oleh satu-satu pihak itu dan ia juga akan ditentukan oleh mahkamah berdasarkan faktor yang berikut:-

(a) takat sumbangan yang dibuat oleh tiap-tiap pihak  dalam bentuk wang, harta atau kerja
dalam memperoleh aset tersebut;

(b) apa-apa hutang yang terhutang oleh salah satu pihak yang telah dilakukan bagi manfaat
kebaikan mereka bersama (usaha bersama sahaja);

(c) keperluan anak-anak yang belum dewasa dalam perkahwinan itu, jika ada;

dan tertakluk kepada factor tersebut ,makahamah hendaklah membuat pembahagian yang sama banyak.


Menurut seksyen 58 / seksyen 122 rujukan mengenai asset yang diperoleh dalam masa perkahwinan termasuklah asset yang dipunyai oleh satu pihak sebelum perkahwinan itu yang telah dimajukan pada sebahagian besarnya dalam masa perkahwinan itu oleh pihak yang satu lagi itu atau dengan usaha bersama mereka.


Manakala dalam fatwa Negeri Selangor (Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali Ke-2/2005 bertarikh 24 Mac 2005) mengenai Harta Sepencarian Selepas Kematian Salah Satu Pihak Dalam Perkahwinan Di Negeri Selangor telah membuat keputusan seperti berikut:
  1. Harta sepencarian selepas kematian salah satu pihak dalam perkahwinan di Negeri Selangor boleh dibahagikan kepada suami atau isteri sebelum difaraidkan termasuk setelah dilepaskan tanggungan si mati.
     
  2. Pembahagian harta sepencarian tersebut hendaklah diberikan mengikut takat sumbangan sama ada secara langsung atau tidak langsung dari kedua-dua belah pihak .
     
  3. Persetujuan pembahagian hendaklah dibuat melalui perintah mahkamah.


HIKMAH HARTA SEPENCARIAN


Antara hikmah wujudnya harta sepencarian adalah seperti berikut :-

·         1) Menggalakkan suami isteri berusaha bersama-sama dalam memikul tanggungjawab rumah tangga dan tidak hanya meletakkan beban tugas kepada satu pihak sahaja.
·         2) Menggalakkan budaya ta'awun , takaful, tadhiyah antara suami isteri serta dapat meningkatkan pendapatan isi rumah.
·         Memberikan keadilan kepada suami isteri agar dapat memiliki bahagian harta yang diperoleh hasil titik peluh mereka mengurudkan rumah tangga sekiranya berlaku penceraian,poligami mahupun kematian.
·        3) Membantu suami isteri membina kehidupan baru selepas berlakunya penceraiana dengan berbekalkan harta sepencarian yang mereka miliki.
·         4) Memberikan hak bahagian yang sepatutnya kepada suami isteri atas usahasama yang dilakukan oleh kedua-dua belah pihak.



KESIMPULAN

Pengisytiharaan harta sepencarian tidak berlawanan dengan syarak.Maka Islam menerima harta sepencarian sebagai sebahagian daripada undang-undang Islam setempat khususnya di Malaysia.

Keperluan pengisytiharaan harta sepencarian  perlu dibuat oleh pasangan (suami dan isteri) dengan cara menulis Surat Pengisytiharaan Harta Sepencarian . Kerana dengan adanya surat ini,ia akan memudahkan proses pengurusan harta pusaka kelak.Serta bahagian yang sepatutnya diperoleh oleh suami isteri dapat diberikan secara betul dan telus .



RUJUKAN

         i.          1-Buku " Urus Harta Sebelum Mati " – Md Ghazali Ibrahim
       ii.         2 -Buku " Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 & Kaedah-kaedah " –--Lembaga Penyelidikan Undang-undang

No comments:

Post a Comment