Selamat Datang

Tuesday, January 22, 2013

MENGATASI RENDAH DIRI & RASA MALU


بسم الله الرحمن الرحيم

MENGATASI RENDAH DIRI & RASA MALU

MUKADDIMAH
Setiap Muslim haruslah memiliki akhlak yang mulia kerana ianya merupakan suatu tuntutan dalam syariat ISLAM .Sebagaimana yang ditegaskan oleh Rasulullah  s.a.w  tentang tujuan pengutusan baginda :

Yang bermaksud : “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak

Hal ini ditegaskan lagi di dalam Al-Quran , ALLAH berfirman :

ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّـٰهُمۡ فِى ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّڪَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ‌ۗ وَلِلَّهِ عَـٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ

Yang bermaksud : “ Iaitu mereka (umat islam) yang jika kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta member zakat,dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar dan (ingatlah) bagi ALLAH jualah kesudahan segala urusan .” (Surah Al-Hajj , Ayat 41 )

Akhlak yang mulia adalah tanda keimanan seseorang . Seseorang yang tidak berakhlak tidak dikira sebagai seorang yang beriman.Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w menyatakan :
Bukanlah iman itu hanya dengan cita – cita tetapi iman itu adalah keyakinan yang tertanam dalam hati dan dibuktikan dengan amalan” (Hadis riwayat Ad-Dailami)
  
Seseorang yang muslim haruslah memiliki ciri-ciri akhlak yang bertepatan dengan syariat islam antaranya ialah bersifat warak dari melakukan perkara-perkara syubhat,memelihara penglihatan,memelihara lidah, bermurah hati dan yang berkaitan dengan topik perbincangan ialah bersifat tawaduk ataupun rendah diri dan bersifat pemalu.Ciri-ciri ini  wajar dimiliki oleh setiap insan supaya dia menjadi seorang muslim yang benar .[1]

RENDAH DIRI & RASA MALU MENURUT KACA MATA ISLAM

Rendah diri dieertikan juga sebagai tawaduk , lawan kepada sifat tawaduk ialah takbur. Dalam kitab “Apa Ertinya Saya Menganut Islam?” Karangan Dr. Fathi Yakan menyebut seseorang muslim mestilah bersifat tawaduk atau merendah diri khususnya terhadap saudara-saudaranya yang muslim dengan cara tidak membezakan (dalam memberikan layanan) sama ada miskin mahupun kaya.Rasulullah s.a.w sendiri memohon perlindungan kepada ALLAH agar dijauhkan dari sifat takbur (membangga diri) .

Baginda bersabda :
Yang bermaksud : “Tidak akan memasuki syurga sesiapa yang di dalam hatinya terdapat sebesar zarah (sedikit) sifat takabbur.” (Hadis Riwayat Muslim)

Di dalam hadis Qudsi  pula ALLAH berfirman :
Yang bermaksud : “Kemuliaan itu ialah pakaian –Ku dan membesarkan diri itu ialah selendang –Ku. Sesiapa yang  cuba merebut salah satu dari kedua-duanya pasti Aku akan menyeksanya” (Hadis Qudsi Riwayat Muslim )

Manakala sifat pemalu atau memiliki rasa malu memurut Islam sebagaimana yang disebut oleh Dr.Fathi Yakan di dalam kitabnya seseorang muslim mestilah bersifat pemalu dalam setiap keadaan.Namun demikian sifat tersebut tidak seharusnya menghalangnya dari memperkatakan kebenaran.Di antara sifat pemalu seseorang ialah ia tidak masuk campur urusan orang lain , memelihara pandangan,merendah diri, tidak meninggikan suara ketika bercakap , berasa cukup serta memadai sekadar yang ada serta sifat-sifat seumpamanya.

Di ceritakan daripada Rasulullah s.a.w bahawa baginda adalah seorang yang sangat pemalu,lebih pemalu dari anak gadis yang berada dibalik tabir.
Rasulullah s.a.w bersabda :
Yang bemaksud : “ Iman itu mempunyai tujuh puluh cabang atau enam puluh cabang,maka yang paling utama ialah ucapan Lailaha Illallah (Tidak ada tuhan yang sebenarnya melainkan ALLAH) dan yang paling rendah ialah membuang duri dari jalan dan sifat malu ialah satu cabang iman.” (Hadis riwayat Baihaqi).


PERSEPSI MASYARAKAT TERHADAP SIFAT RENDAH DIRI DAN RASA MALU

Rendah diri dan rasu malu[2]  sering menguasai diri baik remaja mahupun orang dewasa.Sifat-sifat ini sememangnya perlu ada bagi seseorang individu ,namun haruslah kena pada tempatnya.Sebagai seorang Muslim,dia harus lah memiliki akhlak yang baik ,akhlak yang mampu menjadi contoh tauladan dalam masyarakat.

Namun,hari ini sifat rendah diri dan rasa malu disalahtafsirkan oleh segelintir masyarakat.Persepsi masyarakat yang berbeza menyebabkan sifat ini terkeluar dari landasan syariat islam.Paradigma songsang  yang sering menerjah ruang legar kotak pemikiran manusia jauh tersasar dari hadaf utama wujudnya sifat rendah diri dan rasa malu.
“Apa nak buat ALLAH jadikan aku banyak kekurangan,siapalah aku?” kata  Salwa . “ Ala orang bandar lebih mempunyai keyakinan diri berbanding aku orang kampung duduk pedalaman ..” kata Zaid “Anak lelaki lebih bersemangat dan berkeyakinan dari anak perempuan”  kata seorang ibu “Kecantikan itu membuat keyakinan lebih bertambah” kata Anis . “Ala aku malu la ,tak biasa bergaul dengan orang perempuan ni,kau la yang cakap” kata Nabil.

Ini antara fenomena yang sering terjadi dalam masyarakat kita.Terlalu rendah diri dan rasa malu yang tidak bertempat.Untuk melakukan perkara kebaikan tidak dapat dilaksanakan dek kerena sifat negatif menguasai diri.Hancur segala impian hanya kerana rendah diri atau pun kurang keyakinan diri dan rasa malu yang tidak sepatutnya dimiliki oleh individu muslim.
PUNCA – PUNCA RENDAH DIRI DAN RASA MALU [3].

Allah menciptakan kita semua sama hebat tapi tak serupa,jangan terlalu pesimis dalam menjalani hidup. .Sebagaiman firman ALLAH s.w.t:

لَقَدۡ خَلَقۡنَا ٱلۡإِنسَـٰنَ فِىٓ أَحۡسَنِ تَقۡوِيمٍ

Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya)

Terdapat beberapa punca yang dikenal pasti menjadi penyebab kurang keyakinan diri dan rasa malu yang tak bertempat yang dihadapi oleh masyarakatAntaranya ialah :-
1) Tidak kenal diri sendiri
2) Fokus kepada kehebatan orang lain
3) Gagal mempamerkan kehebatan diri
4) Latar belakang keluarga
5) Kegagalan yang lalu
6) Ingkar perintah ALLAH
7) Melabel diri dengan perkara negatif

PETUA MENGATASI RENDAH DIRI DAN RASA MALU

Setiap masalah ada jalan penyelesaiannya.Begitu juga dengan mereka yang menghadapi masalah kurang keyakinan diri dan terlalu rendah diri dan rasa malu yang melampau hingga dalam hal-hal kebaikan .Hal ini menjejaskan reputasi seseorang muslim yang sepatutnya mampu dirawat dan di kawal.

Terdapat beberapa petua yang di sarankan oleh Dr.Fadzilah Kamsah ,Pakar motivasi yang terkenal . Antaranya ialah :-
1) Kenali diri dan masalah yang dihadapi dengan mendalam
2) Sentiasa berdoa untuk mengembalikan keyakinan diri
3) Bergaul dengan mereka yang mempunyai sikap positif
4) Mencungkil bakat yang terpendam
5) Membentuk penampilan baru
6) Memperbaiki penampilan diri
7) Kawal pemikiran dan tukar label mental
8) Menjaga kesihatan tubuh badan
9) Mencari mentor,penasihat atau pakar motivasi
10) Bersyukur ke atas segala nikmat karunia ALLAH [4]

Berikut adalah petua-petua yang disarankan bagi menangani masalah tersebut,setiap masalah perlulah diteliti dan difahami apa sebabnya dan dari situlah kita cuba menyelesaikannya.
Bergaul dengan mereka yang intelektual dan mempunyai fikiran optimis dan positif mampu menbentuk semangat dan jiwa kental dalam diri .Di samping kita mencari bakat yang terpendam “skill” kemahiran yang ada,selongkarlah kerana dari situ akan lahir keyakinan dalam diri anda.Setiap makhluk  ciptaan ALLAH tidak dijadikan sia-sia melainkan ada hikmah dan tujuannya.

Mindset perlu diubah dari pemikiran negatif sebagai contoh , ‘aku tak pandai’ kepada ‘aku sama pandai dengan orang lain ,cuma belum keluarkan kehebatan ,aku ada kekuatan aku bukannya tak pandai’ bukanlah “sombong” tapi itulah hakikat kita setiap orang mempunyai keistimewaan masing-masing.CARILAH KEISTIMEWAAN ANDA !!!
DOA –DOA YANG DISARANKAN BAGI MEMBENTUK KEYAKINAN DIRI
Antara doa-doa dan amalan yang boleh membantu menaikkan semangat dan keyakinan diri serta membuang sifat malu ialah :-
1) Baca surah al-Fatihah
2) Doa nabi Musa a.s  :

رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي ويَسِّرلي أمري وَاحْلُل عُقْدَة من لِّساني يَفْقَهُوا قَوْلِي

“ Ya Tuhanku, lapangkanlah untukku dadaku, dan mudahkanlah untukku urusanku, dan lepaskanlah kekakuan dari lidahku, supaya mereka mengerti perkataanku”
3)
Ya Allah, bukakanlah untukku pintu-pintu kebaikan, pintu-pintu keselamatan, pintu-pintu kesihatan, pintu-pintu nikmat, pintu-pintu keberkatan, pintu-pintu kekuatan, pintu-pintu cinta sejati, pintu kasih sayang, pintu-pintu rezeki, pintu-pintu ilmu, pintu-pintu keampunan dan pintu-pintu syurga. Ya Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

4) Dari Anas bin Malik, beliau berkata bahwa Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

اللَّهُمَّ لاَ سَهْلَ إِلاَّ مَا جَعَلْتَهُ سَهْلاً وَأَنْتَ تَجْعَلُ الحَزْنَ إِذَا شِئْتَ سَهْلاً

Allahumma laa sahla illa maa ja’altahu sahlaa, wa anta taj’alul hazna idza syi’ta sahlaa” [artinya: Ya Allah, tidak ada kemudahan kecuali yang Engkau buat mudah. Dan engkau menjadikan kesedihan (kesulitan), jika Engkau kehendaki pasti akan menjadi mudah].

5) 


PENUTUP

Setiap orang pasti ada kehebatan masing-masing,Cuma kita yang masih belum menunjukkan “belang”nya.Usahlah dipandang kehebatan orang lain,cubalah mencari kehebatan diri.Tidak salah untuk melihat kehebatan ,keupayaan orang lain tapi pada masa yang sama keluarkan kebolehan kita yang ada , cari satu persatu ,mungkin kita tidak perasaan ,cuba tanya pandangan sahabat-sahabat kebolehan apa yang kita ada,dan seterusnya cuba gilap,asah dan perbaiki.Dengan itu,kekuatan ,keyakinan diri dipupuk dan rasa rendah diri dan rasa malu bisa luntur sedikit demi sedkit. YAKINLAH BAHAWA ANDA BOLEH !!!

Hadirnya penulisan ini untuk sama-sama kita perbaiki diri ke arah yang lebih baik .Moga bertambah rasa yakin dalam diri kita dan membuang jauh rasa malu yang tidak bertempat.Sukalah saya untuk mengingatkan diri saya terlebih dahulu serta sahabat-sahabat ,rakan taulan seperjuangan.Moga ada ibrah (pengajaran ) disebalik hasil pena ini.

“ TRANSFORMASI PEMIKIRAN , MANIFESTASI KESATUAN”
“MUSLIM PROFESIONAL ACUAN AL-QURAN DAN AS-SUNNAH”

Wallahu’lam.



BIODATA PENGARANG KITAB  “APA ERTINYA SAYA MENGANUT ISLAM?”


Beliau telah dilahirkan pada 9 Februari 1933 di Tarablas, Lubnan. Beliau telah mendapat ijazah kedoktoran dalam pengajian Islam dan Bahasa Arab walaupun pada peringkat B.A. dan M.A. beliau belajar di dalam bidang kejuruteraan. Beliau telah terlibat dengan kerja-kerja Islam sejak tahun 50an dan telah menubuhkan Jamaah Islam pada awal 60an. Beliau merupakan anatara pelopor dan pengasas Ikhwanul Muslimin Lubnan dan telah menjawat jawatan ketua umum di dalam Ikwanul Muslimin Lubnan sehinggalah pada tahun 1992.

Pada tahun tersebut beliau telah bertanding dan telah memenangi kerusi parlimen. Beliau kekal sehinggalah pada tahun 1996. Di tahun-tahun kebelakangan ini beliau telah mengetuai Jabhah Islami. Beliau telah mengambil peranan penting untuk menghentikan peperangan Mukhayyam Nahrul Barid di utara Lubnan diantara Tentera Lubnan dan Jamaah Fathul Islami pd tahun 2007.

Beliau telah banyak mengarang buku diantaranya maza ya'ni intiami lil Islam, (apa ertinya saya menganut agama Islam), 



al-Mutasiqituna 'ala toriq Da'wah (golongan yang tercicir di sepanjang jalan dakwah) dan lain-lain yang melebihi 35 buah buku.
Pada 21 Jamadil Akhir, 1430 Hijrah (waktu Lubnan), bersamaan dengan hari Ahad, 14 Jun 2009 (waktu Lubnan), beliau telah pulang menemui ilahi. Beliau meninggalkan seorang balu, Dr. Mona Haddad Yakan dan 4 orang anak perempuan dan seorang anak lelaki.
Antara buku-buku beliau yang telah dialih bahasa ke Bahasa Melayu (Malaysia & Indonesia) dan menjadi sumber rujukan bagi gerakan-gerakan Islam di Nusantara.





Disediakan oleh :
Al-faqirah ila Robbiha

Di semak oleh :
1) Tengku Nur ‘Izzati Binti Tengku Abdullah
2) Nur Aimi Liyana Binti Jamal
3) Siti Sabiha Binti Seman




[1] Bab “Saya mestilah Muslim dari sudut akhlak ” karangan Dr.Fathi Yakan dalam kitabnya “Apa Ertinya Saya Menganut   Islam. 
[2] Rendah diri disini bukanlah bermaksud lawannya takbur (membangga diri) tetapi rendah diri  yang bermaksud     kurang keyakinan diri dan rasa malu yang tidak bertempat
[3] Punca –punca rendah diri dan rasa malu dipetik dari  video Dr.Fadzilah Kamsah “Mengatasi Rendah Diri”
[4] Bilamana kita bersyukur dan redha dengan ketentuan ALLAH kita akan lebih yakin untuk menempuhi kehidupan ini.       -  Petua tambahan dari penulis.

Saturday, January 19, 2013

Cara Menghalang Godaan Syaitan





Bismillah walhamdulillah ...

Dalam kehidupan kita seharian,seringkali diterjah rasa kurang yakin diri,was-was dan syak wasangka dalam setiap urusan hidup seharian.Lalai dan leka dalam mentaati suruhan dan perintah ALLAH s.w.t .Saat itu ,hati anak adam mulai keras seolah-olah "seperti batu" tidak bernyawa..tidak bersinar padam dalam kegelepan.Itulah tanda-tanda ketewasan jiwa di saat tumpas dalam mujahadah melawan nafsu. Sedari itu, terbukalah pintu-pintu masuk segala kejahatan kedalam jiwa suci anak adam.

Benteng mulai goyah kekuatan mulai lemah ,segala yang baik ditolak tepi syaitan jua kembali menjadi teman rapatnya yang bertujuan memsongkan anak adam dari jalan ALLAH , sebagai mana firman ALLAH s.w.t :


 استَحۡوَذَ عَلَيۡهِمُ ٱلشَّيۡطَـٰنُ فَأَنسَٮٰهُمۡ ذِكۡرَ ٱللَّهِ‌ۚ

Maksudnya : “Syaitan telah menguasai lalu menjadikan mereka lupa kepada ALLAH “    

                                                       (Surah al-Mujadilah 58 : Ayat 19 )

Namun,bagi membantu manusia menghadapi hasutan syaitan dan serangan iblis seangkatan,ISLAM telah menunjukkan berbagai cara dan wasilah yang dapat membantu menewasakan godaan serta mengalahkan syaitan laknatullah,

Cara tersebut telah dirumuskan oleh seorang daripada para solehin ,beliau berkata :
“ Saya telah merenung dan memikirkan cara-cara dari pintu manakah syaitan ,masuk kedalam diri manusia,ternyata ia masuk ke dalam diri melalui sepuluh  pintu :

PERTAMA :
Tamak dan buruk sangka,maka aku menghadapinya dengan sifat menaruh kepercayaan dan berpada dengan apa yang ada.

KEDUA :
Cinta kan kehidupan dunia dan angan-angan yang tinggi, lalu aku menghadapinya dengan perasaan takut terhadap kedatangan maut yang bisa berlaku bila-bila masa.

KETIGA :
Cintakan kerehatan dan kemewahan,lantas aku menghadapinya dengan keyakinan bahawa kenikmatan itu akan hilang dan balasan buruk pasti menanti.

KEEMPAT :
‘Ujub’ yakni kagum terhadap diri sendiri,lantas aku menghadapinya dengan rasa terhutang budi kepada ALLAH dan  implikasi yang buruk ekoran daripada sifat ‘ujub.

KELIMA :
Memandang rendah terhadap orang lain dan tidak menghormati mereka , lalu aku menghadapinya dengan mengenali hak-hak mereka serta menghormati mereka sewajarnya.

KEENAM :
Hasad dengki , lalu aku menghadapinya dengan sifat berpada (qana’ah) dan redha dengan segala karuniaan ALLAH kepada makhluknya .

KETUJUH :
Riya’ dan sukakan pujian orang , lalu aku menghadapinya dengan ikhlas.(1)

(1) Disebalik pujian terselit ujian.Moga kita menerima setiap pujian bukan kerana usaha yang kita lakukan tapi semuanya datang daripada ALLAH,kita hanyalah hamba yang melakukannya berkat dari ALLAH .Segala dan puji hanyalah bagi ALLAH..Jangan kerana pujian kita hilang segala-galanya,berwaspadalah dengan hakikat sebuah “pujian” .. catatan penulis ..

KELAPAN :
Bakhil dan kedekut , lalu aku menghadapinya dengan menyedari bahawa apa yang ada pada makhluk akan binasa manakala yang kekal itu berada disisi ALLAH.

KESEMBILAN :
Takabbur (membesarkan diri /megah) , lalu aku menghadapinya  dengan rasa tawaduk (rendah diri)

KESEPULUH :
Tamak haloba , lalu aku menghadapinya dengan mempercayai ganjaran yang disediakan disisi ALLAH dan tidak tamak terhadap apa yang ada disisi manusia.

Wasilah lain bagi menghadapi godaan syaitan dan menjadikannya kubu pertahanan ialah :-

1) Sentiasa mengingati ALLAH apabila memulakan setiap pekerjaan , lazimi zikrullah dan bacaan surat cinta ALLAH ( AL-QURAN) , sentiasa memohon magfirah (keampuna) dari –NYA,sebagaimana sabda

Rasulallah s.a.w :
“ Sesungguhnya syaitan itu melatakkan belalainya ke atas hati anak adam , maka jika ia mengingati ALLAH ia pun lari daripadanya ,jika sekiranya ia lupakan ALLAH syaitan akan membolak balikkan hatinya "

 (Hadis riwayat ibnu Abi Dunya )


2) Janganlah terlalu kenyang apabila makan meskipun menikmati makanan yang baik dan halal kerana ALLAH s.a.w berfirman :
وَڪُلُواْ وَٱشۡرَبُواْ وَلَا تُسۡرِفُوٓاْ‌
Maksudnya : “ Makanlah dan minumlah ,tetapi jangan kamu berlebihan"
                                                                          (Surah al-A’raf : Ayat 31)

3) Tidak tergopoh gapah dalam sebarang pekerjaan kerana mengingati pesanan Rasulallah s.a.w :
“ Bergopoh gapah (terburu-buru) itu adalah dari syaitan dan berhati –hati itu dari ALLAH “ 

(Hadis riwayat Ibn Abi Shaibah.Abu Ya’la dan Al-Baihaqi .At-Tarmizi meriwayatkan hadith sepertinya dan Al-Albanni mengatakan : sanadnya Hasan .)

Ini hanyalah antara wasilah untuk kita mengatasi godaan hawa nafsu dan ikutan syaitan ..Sama-samalah kita merenung firman ALLAH S.W.T :

إِنَّ ٱلَّذِينَ ٱتَّقَوۡاْ إِذَا مَسَّہُمۡ طَـٰٓٮِٕفٌ۬ مِّنَ ٱلشَّيۡطَـٰنِ تَذَڪَّرُواْ فَإِذَا هُم مُّبۡصِرُونَ (٢٠١)

Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari Syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah) maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar). (201)  Surah Al-A’raf .

Antara  amalan-amalan doa yang disarankan , moga-moga membantu kita dijuahi dari syaitan mahupun talbis iblis (perangkap syaitan ) :

1)  Doa Dijuahkan hati dari hasad dengki

رَبَّنَا ٱغۡفِرۡ لَنَا وَلِإِخۡوَٲنِنَا ٱلَّذِينَ سَبَقُونَا بِٱلۡإِيمَـٰنِ وَلَا تَجۡعَلۡ فِى قُلُوبِنَا غِلاًّ۬ لِّلَّذِينَ ءَامَنُواْ رَبَّنَآ إِنَّكَ رَءُوفٌ۬ رَّحِيمٌ
Maksudnya : Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah belas kasihan dan rahmatMu.

2) Doa agar istiqamah dalam iman

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ إِيمَانًا لَا يَرْتَدُّ وَنَعِيمًا لَا يَنْفَدُ وَمُرَافَقَةَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي أَعْلَى جَنَّةِ الْخُلْدِ.

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu keimanan yang tidak berbolak balik, kenikmatan yang tidak putus-putus dan perdampingan dengan Nabi SAW di syurga tertinggi yang kekal.”
(Sahih Ibnu Hibban, juz. 5, hlm. 303, no. 1970)

3) Perbanyakkan membaca Surah an-nas :
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

قُلۡ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلنَّاسِ (١) مَلِكِ ٱلنَّاسِ (٢) إِلَـٰهِ ٱلنَّاسِ (٣) مِن شَرِّ ٱلۡوَسۡوَاسِ ٱلۡخَنَّاسِ (٤) ٱلَّذِى يُوَسۡوِسُ فِى صُدُورِ ٱلنَّاسِ (٥) مِنَ ٱلۡجِنَّةِ وَٱلنَّاسِ (٦)

Maksudnya : Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

Katakanlah (wahai Muhammad): Aku berlindung kepada (Allah) Pemelihara sekalian manusia. (1) Yang Menguasai sekalian manusia. (2) Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia. (3) Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam. (4) Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia. (5) (Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia. (6)

Akhir kalam, sama-samalah kita berusaha mujahadah nafs melawan segala bentuk godaan syaitan,dan moga setiap amalan kita diterima disisi ALLAH serta melakukan setiap amalan dengan ikhlas kerana ALLAH dan lebih khusyuk .. inshaallah.

Segala yang baik itu datangnya daripada ALLAH yang tidak baik itu datangnya dari saya sendiri,,sama mengingati sesame muslim .Bertepatan dengan firman ALLAH S.w.t :

وَذَكِّرۡ فَإِنَّ ٱلذِّكۡرَىٰ تَنفَعُ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ

Maksudnya : Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman . (Surah Az-zariyaat : 55)

Wallahu’lam … moga bermanfaat untuk semua .. selawat keatas junjungan besar nabi Muhammad s.a.w .. “allahuma solli ‘ala saidina wa habibina Muhammad s.a.w “ salam rabi’ul awal 1434H.


RUJUKAN :

Kitab Apa Ertinya Saya Menganut Agama ISLAM ? 
Karangan Fathi Yakan .

Saturday, January 12, 2013

Nasi Kerabu ala Cairo

gambar hiasan :)


Post hari ini berkaitan resepi masakan  melayu…walaupun tak reti masak dan bukanlah chef pun ..just nak share resepi makanan popular di kota cik siti wan kembang ..”nasi kerabu” hurmm bunyi best je ..nak tau tak bagaimana cara nak bikin nasi kerabu ..yukk saya tunjuk ajar sifu kat sini,senang je just rumit sikit..tapi tak pe korang akan rasa lega bila semuanya terhidang di atas meja makan dan masa tu lah timbul perasaan yang tak boleh nak cakap bila pandang nasi kerabu huhu (banyak cakap pulak ..maaf) jom kita mula memasak !!

What we should to do ?? hurmmm

First .. sediakan bahan-bahan :)

Bahan –bahan : NASI 

7 pot Beras
 Air secukupnya
1 batang serai ( dipotong halus)
2 biji bawang (merah dimayang halus)
Sedikit garam
Pewarna ( biru )@ bunga nasi kerabu

Bahan-bahan : KUAH

8 biji bawang merah (if kecil ) (dikisar )
1 biji bawang besar (dikisar)
6 ulas bawang putih (dikisar )
1 genggam lada kering (dikisar )
Santan
Asam Gelugur
Serai (diketuk)
Halia (dikisar)
Garam
Gula

Bahan-bahan : SAMBAL KERISIK IKAN

½ biji kelapa parut (digoreng dan ditumbuk halus)
5 ekor ikan rebus (if kecil2 ) (diambil isi dan ditumbuk )
3 biji bawang merah (ditumbuk)
Lada hitam (ditumbuk)
Gula Melaka/manisan/nise (ditumbuk)
2 batang serai (ditumbuk)
Garam secukup rasa

Bahan-bahan : ULAM KERABU

1 biji timun
1/4 biji kubis
1 batang bunga kantan
1 batang serai
 1 genggam daun kesum
 1 genggam tauge
 1 ikat daun serai kayu

Bahan – bahan : BUDU

Budu cap seghoti or ape2 jenama la
I biji bawang besar dimayang  halus
5 biji cili padi  dihiris halus
I biji limau nipis diambil airnya

Lauk

Ayam bakar / ayam goreng
Ikan goreng celup tepung
Keropok ikan
Telur masin


Bahan-bahan dah sedia ,bukan main banyak lagi …jom start !! panaskan kuali !!!

1) NASI

Basuh beras sehingga bersih , letakkan air secukupnya masukkan serai dan bawang yang dipotong halus beserta pewarna dan garam secukup rasa, masukkan dalam rice cooker , cook n warm :)

2) KUAH

Panaskan kuali , masukkan sedikit minyak tumis bahan-bahan yang dikisar tadi , biarkan garing.Setelah garing masukkan serai dan asam gelugur ,biarkan seketika.Then , masukkan santan ,garam dan gula secukup rasa,kacau selalu supaya santan sekata,setelah mendidih ,tutup api ,kacau sekejap then siap :)

3) SAMBAL KERISIK IKAN

Campurkan semua bahan-bahan yang ditumbuk masukkan garam ,gaul hingga sebati.
Sekiranya tiada gula Melaka/nise boleh gantikan dengan gula , ok :)

4) ULAM KERABU

Semua bahan-bahan dihirs halus – halus ya :)

5) BUDU

Campurkan semua bahan-bahan yang dimayang dan diris berserta air perahan limau kedalam budu . :)

6) LAUK

Boleh sediakan aneka jenis lauk pilihan sama ada ayam bakar , ayam goreng,ikan goreng celup tepung ,keropok ikan yang digoreng ataupu telur masin.. pandai2lah ya sediakan lauk-lauk ni..ikut kemudahan ,paling simple rebus telur or goreng keropok :)

Setelah selesai boleh lah hidang …santapan malam bersama keluarga :)

p/s : nak makan nasi kerabu ada caranya .gaulkan kesemua bahan di dalam pinggan dan nikmatilah juadah nasi kerabu !! ^^

*kat cairo tak dapat memenuhi kesemua bahan2 diatas , so buat yg mana ade aje ..alhamdulilah sempat la hasilkan tapi tak sempat nak snap picture , so tak leh nak display kat sini ,anyway kat atas dah ada gambarnya ^^

SELAMAT MENCUBA (^_^)


 contoh bunga nasi kerabu (tak tahu bunga apa nak bg nama ^^ )

untuk warnakan nasi supaya jadi biru ^^
~ kata ahli beit : bunga urang aring ..thanks ya :) ~